Kita biasa dengar garam halus dan garam kasar sahaja kan? Ada pelbagai jenis warna dan bentuk garam di pasaran. Tapi yang paling penting, semua jenis garam mempunyai kandungan natrium klorida yang hampir sama.
Tak kisahlah garam apa yang digunakan dalam masakan, yang penting adalah kuantiti yang digunakan. Kurangkan kepada 1 paras sudu teh garam dalam sehari termasuk garam tersembunyi.
Pesanan di atas adalah pesanan yang diberikan oleh KKM kepada kita semua agar mengurangkan penggunaan garam dalam makanan seharian. Penggunaan yang berlebihan bakal memudaratkan kesihatan.
Jom kita ambil tahu berkenaan dengan garam-garam yang ada dalam dunia.
1. Garam Halus
Garam ini adalah garam yang biasa kita gunakan di dapur. Biasanya garam halus ini dilombong dalam lombong garam di bawah tanah. Ianya diproses untuk membuang mineral-mineral dan bahan lain yang ada di dalam garam. menjadikan garam ini lebih bersih dari pencemaran. Video di bawah menunjukkan salah satu lombong garam dalam dunia.
Namun garam ini ditambah dengan iodin tambahan untuk mengelakkan garam halus ini bergumpal dan berketul-ketul kerana sifat garam asli biasanya melekat antara satu sama lain. Iodin ditambah ke dalam garam halus ini untuk mengelakkan garam melekat antara satu sama lain. dan menghasilkan tekstur yang halus dan terberai seperti pasir.
Garam halus adalah garam yang paling banyak di pasaran. Mengikut pengalaman peribadi, garam jenis ini rasanya lebih masin berbanding dengan garam lain.
2. Garam Kasar atau garam laut
Garam kasar biasanya adalah garam yang diperolehi terus dari laut melalui proses penyejatan dan tanpa sebarang proses kimia lain bagi membuang mineral serta bahan asing di dalam garam tersebut. Kandungan bahan asing di dalam garam ini bergantung kepada kawasan mana garam ini diproses. Video di bawah menerangkan bagaimana garam kasar atau lebih dikenali sebagai garam laut diproses.
Disebabkan garam ini diproses terus dari air laut dan tidak diproses bagi menyingkirkan mineral dan bahan asing. Garam ini berisiko lebih tercemar dengan molekul-molekul plastik dan pencemaran laut yang lain. Garam kasar adalah garam yang selalu digunakan oleh rakyat Malaysia pada suatu ketika dulu. Sekarang agak sukar nak dapatkan garam jenis ini.
3. Garam Kosher
Kosher merupakan istilah “Halal” bagi orang yahudi. Kosher bermaksud membuang darah dalam badan haiwan agar ianya halal dimakan. Proses kosher dilakukan oleh orang yahudi dalam membuang darah dalam badan haiwan seperti daging dengan menyalut daging dengan garam agar semua cecair dalam daging keluar. Mereka menggunakan garam yang bertekstur lebih besar dari garam halus, tekstur garam ini lebih besar dan mudah digunakan untuk proses kosher. Di sinilah nama garam ini diberi.
Garam kosher tidak kisah diperoleh samada dari laut atau dari lombong garam, namun tekstur garam mestilah lebih besar dan konsisten bentuknya.
4. Garam buluh
Garam ini diberikan namanya kerana proses penghasilan garam menggunakan buluh untuk menambah khasiat garam (katanya). Untuk menghasilkan garam buluh, garam kasar atau garam laut dimasukkan di dalam buluh dan dibakar dalam dram untuk meningkatkan khasiat garam tersebut. Anda boleh melihat proses penghasilan garam buluh di dalam video di bawah.
5. Garam Bukit atau garam Himalaya
Garam ini dilombong di pergunungan Himalaya. Lombong garam yang popular berada di Pakistan. Garam ini amat popular kerana warna garam yang berwarna pink dan kemerahan. Garam ini berwarana pink atau merah jambu kerana kandungan besi oksida (karat) yang tinggi.
Garam ini sebenarnya sama sahaja dengan garam lain, namun warnanya itu yang menjadikan penarik jika digunakan dalam masakan. Dikatakan garam ini lebih berkhasiat berbanding garam lain, namun itu hanyalah “claim” yang masih tidak dibuktikan. Video di bawah menunjukkan bagaimana garam Himalaya diproses.
Itulah antara jenis-jenis garam yang ada dalam dunia ini. Namun garam tetap garam, ianya hanyalah untuk penyedap makanan. Murah atau mahalnya sesuatu garam adalah kerana kesukaran untuk mendapatkannya serta jarak sumber garam dari pihak pengguna.
Semoga artikel ini memberikan info yang bermanfaat kepada anda semua.