Kenapa anak luar nikah tidak boleh dibinkan bapa biologi?

  • 3 min read
  • Feb 14, 2020

Anak Luar Nikah

Agak panas juga isu ini dalam sistem perundangan. Terutama dalam negara Malaysia yang mempunyai dua sistem mahkamah yang berjalan serentak bagi orang Islam.

Malaysia mempunyai dua sistem mahkamah iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Ianya berjalan serentak namun mempunyai bidangkuasa yang berbeza. Mahkamah Syariah berbidangkuasa dalam hal-hal dalam jadual 9 perlembagaan persekutuan, senarai dua (Negeri), iaitu:

” Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik ……………..” – Sila rujuk perlembagaan persekutuan.

Dalam bab ini, kesah-tarafan anak diletakkan di bawah kuasa mahkamah syariah, namun kuasa pendaftaran adalah di bawah JPN dan ianya boleh dilawan di Mahkamah Sivil.

Isu Anak Luar Nikah Dibinkan Bapa

Perkara ini berlaku apabila perbuatan zina dilakukan oleh seorang lelaki dan perempuan. Dan hasil perzinaan itu lahirlah seorang anak. Semasa mengandung, mereka berkahwin. Si lelaki merasakan anak itu adalah anak beliau dan ingin mebinkan anak tersebut dengan namanya.

Namun bila dibawa ke Mahkamah Syariah, si lelaki gagal membuktikan bahawa anak tersebut adalah hasil hubungan semasa nikah (kebiasaannya jika jarak kelahiran anak dari tarikh nikah kurang 6 bulan, makan anak tersebut tak sah taraf, namun bergantung kepada mahkamah syariah menentukan). Apabila keputusan tidak sah taraf (anak luar nikah). Si lelaki tersebut tidak puas hati dan membawa kes ini ke mahkamah sivil.

Dengan sokongan beberapa organisasi NGO, si bapa membawa kes ini ke mahkamah Sivil dengan melawan Jabatan Pendaftaran Negara. Ianya adalah untuk memaksa JPN tidak menggunakan keputusan dari mahkamah syariah dalam mendaftarkan bin anak mereka. Ianya adalah satu cubaan untuk menyingkirkan keputusan mahkamah syariah secara halus.

Kenapa Dalam Islam Tidak Boleh Binkan Bapa Biologi Anak Luar Nikah?

Keputusan mahkamah syariah nampak tegas kan dalam bab ini. Sedangkan si lelaki dah berkahwin dengan wanita tersebut, tetapi tetap tak boleh binkan anak dengan nama sendiri. Kenapa ya sampai begitu sekali?

Untuk makluman yang masih tidak mengetahui. Islam tidak mengiktiraf bapa biologi sebagai bapa kepada si anak jika anak tersebut dilahirkan luar nikah. Ini kerana Islam menjaga nasab keturunan. Kerana melalui nasablah hukum-hakam ditentukan.

Antara hukum-hakam yang berkaitan dengan nasab keturunan adalah:

  • Wali Nikah
  • Hak Pusaka
  • Nafkah
  • Dan lain-lain

Islam itu lengkap, semuanya pasti terkait antara satu sama lain. Namun yang menjadi isu apabila ada sesetengah golongan ingin menolak hukum Islam dan menentangnya melalui kelompongan sistem mahkamah Malaysia.

Maka berlakulah kes mencabar keputusan hukum hakam islam di Mahkamah sivil. Alhamdulillah hari ini kita mendapat berita gembira bahawa Mahkaman Persekutuan (Mahkamah tertinggi Sivil) memutuskan bahawa anak luar nikah tak boleh di binkan kepada bapa.

Berita Dan Kronologi Kes

Di bawah dipetik berita dan kronologi kes daripada BERNAMA.

Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh dibin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa dan sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah’.

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu hari ini berkata Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu Islam kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau binti dengan nama peribadi orang yang diketahui adalah bapa kepada anak itu.

Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi ketua pengarah JPN mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu dalam kes ini.

“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.

Hakim Rohana berkata ketua pengarah JPN tidak boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tidak sah taraf yang diwartakan di Johor.

Keputusan majoriti itu adalah daripada Hakim Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun manakala penghakiman minoriti daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Kanak-kanak itu dilahirkan kurang enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya, yang disifatkan sebagai anak tidak sah taraf di bawah Undang-Undang Syariah.

Ibu bapa kanak-kanak (yang identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah) itu memohon kepada JPN mengikut Seksyen 13 BDRA untuk kanak-kanak itu di bin dengan nama bapanya di dalam sijil kelahirannya tetapi JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa atas alasan kanak-kanak itu tidak sah taraf walaupun permohonan dibuat.

Ibu bapa itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos, 2016.

Pada 25 Mei, 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan ketua pengarah JPN menggantikan nama keluarga kanak-kanak berkenaan iaitu ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

-Bernama

Kemenangan buat undang-undang Islam

Walaupun kita dikejutkan dengan keputusan mahkamah rayuan yang membenarkan anak luar nikah dibinkan kepada nama bapa biologi, namun dengan usaha pelbagai pihak dan bantuan Allah yang maha kuasa.

Hak undang-undang syariah berjaya dikekalkan. Semoga selepas ini tiada lagi cabaran-cabaran yang dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan. Amin.

Related Post :

Tinggalkan komen anda