Kenapa Kita Tidak Menunggang Kuda Belang?

  • 4 min read
  • Dec 13, 2018

Kuda belang adalah satu spesies kuda yang kebiasaannya dijumpai di padang rumput afrika. Nama saintifik kuda belang adalah Equus burchelli.

Kuda belang dapat dikenali berdasarkan kewujudan corak belang di atas badannya. Corak belang ini biasanya menegak di bahagian hadapan kuda dan menyendeng di bahagian belakang. Mengikut ahli zoologi, belang tersebut berfungsi sebagai mekanisma atau alat penyamaran kuda belang di padang rumput afrika. Antara fungsi lain belang tersebut adalah untuk kuda belang membezakan antara satu sama lain, kerana corak belang berbeza. Ini adalah mekanisma untuk kuda belang bersosial antara mereka.

Jenis Kuda Belang

Kuda belang terbahagi kepada 3 jenis atau spesies. Spesies pertama adalah Kuda Belang Dataran, ini adalah kuda belang yang paling biasa dijumpai. Kuda belang jenis ini biasanya didapati di sepanjang selatan dan timur afrika. Yang mana bentuk muka bumi di sini adalah dataran padang rumput yang luas.

Jenis kuda belang kedua adalah Kuda Belang Gunung, kuda belang ini mempunyai ciri belang halus serta kulit licin. Ia boleh didapati di tenggara Angola, Namibia dan Afrika Selatan. Kuda belang jenis ini hidup kawasan berbukit. Kuda belang ini adalah antara spesies yang terancam.

Kuda belang ketiga adalah Kuda Belang Grévy, kuda belang jenis ini adalah yang paling terancam. Kuda belang ini hidup di padang rumput separuh kering (padang rumput savannah). Antara sifat utama kuda belang ini adalah belangnya lebih tirus, tubuh yang tinggi serta telinganya besar. Kuda belang ini berasal dari Kenya dan Habsyah (Ethiopia). Kelebihan kuda belang ini adalah ia boleh hidup selama 5 hari tanpa air.

Mungkin anda tertanya-tanya, kenapa kita jarang melihat orang menunggang kuda belang, kalau ada pun hanya dalam filem sahaja? Untuk menjawab persoalan ini, anda perlu tahu istilah “domestikasi” haiwan.

Apakah domestikasi?

Domestikasi adalah satu proses adaptasi hidupan liar ke dalam kehidupan sehari-harian manusia. Secara mudahnya boleh dikatakan proses penjinakan haiwan liar. Namun istilah penjinakan tidak sesuai kerana ia melibatkan evolusi atau adaptasi keseluruhan spesies, bukannya seekor haiwan.

Sejak mulanya manusia menghuni bumi, nenek moyang kita hidup dengan berburu untuk makanan. Namun cara ini mengambil masa yang lama. Maka tercetuslah idea untuk memelihara dan membiakkan binatang ternakan untuk daging, susu dan kulit. Nenek moyang kita cuba mendomestikasi pelbagai jenis haiwan. Antara haiwan yang berjaya didomestikasi adalah, kambing, biri-biri, lembu, ayam, kuda, anjing dan babi.

Banyak lagi binatang lain yang cuba didomestikasi, namun ianya tidak berjaya. Untuk menjawab kenapa proses domestikasi binatang-binatang lain tidak berjaya. Ahli Biologi Jared Diamond menyatakan 6 ciri-ciri yang perlu dipenuhi untuk membolehkan satu haiwan itu didomestikasi.

  1. Haiwan yang tidak cerewet dalam memilih makanan.
    Binatang yang ingin didomestikasi hendaklah jenis yang boleh memakan makanan yang ditemui di sekeliling penempatan manusia. Seperti kucing dan anjing, boleh bertoleransi dengan memakan lebihan makanan manusia.
  2. Haiwan yang boleh membesar dengan cepat.
    Manusia memerlukan binatang yang matang dengan cepat, kerana mereka ingin menggunakannya dalam kehidupan. Gajah adalah haiwan yang membesar dengan lambat, jadi haiwan ini tidak sesuai didomestikasi.
  3. Haiwan yang boleh membiak dalam kandang tertutup.
    Ini adalah penting, kerana pengembala akan mengembala binatang dan mengurung di tempat tertutup. Binatang tersebut boleh mengawan di dalam kandang. Jika harimau bintang, ia perlu melakukan acara larian marathon sebelum boleh mengawan, maka ia tidak sesuai didomestikasi.
  4. Haiwan yang tidak cepat panik.
    Lembu, adalah binatang yang tidak cepat panik. Pernah dengar istilah “dia buat lembu/bodoh je”? Lembu adalah binatang yang tenang dan sesuai didomestikasi.
  5. Haiwan yang jinak semulajadi.
    Kambing, ayam, kucing adalah haiwan yang secara semula jadinya adalah jinak, walaupun mungkin awalnya mereka melarikan diri jika tidak biasa, tapi bagi individu yang biasa dengan mereka, binatang ini ada keinginan untuk datang mendekat.
  6. Hierarki Sosial yang boleh diubah-suai.
    Hierarki sosial yang dimaksudkan adalah, binatang ini boleh mengenali pengembalanya sebagai tuannya. Harimau tidak akan mampu mengubahsuai hierarki sosial kepada binatang lain. Ketaatan mereka hanya kepada “alpha” mereka sahaja. Dalam sarkis, binatang ini tidak mengiktiraf manusia sebagai tuan mereka, mereka hanya takut sahaja. Sebab itu ada kes harimau makan tuan.

Di atas adalah ciri-ciri yang mana binatang yang boleh didomestikasi. Ok, sekarang kita berbalik kepada kuda belang kita.

Kenapa kuda belang tidak boleh ditunggang?

Jawapannya adalah, Kuda Belang bukan binatang yang boleh didomestikasi. Kuda belang mempunyai kesemua ciri domestikasi, kecuali ciri ke 4, 5 dan 6. Kuda belang adalah binatang yang cepat panik dan tidak jinak semulajadi. Ia tidak mudah mengenal tuan dari kalangan manusia, mereka membezakan hirearki sosial mereka melalui belang di badan, bukan bentuk muka.

Kuda belang amatlah mudah terkejut, mengganas dan sesuai dengan fitrahnya yang dihiasi belang hitam dan putih untuk tujuan hidup berlari dalam kumpulan, mengelirukan musuh dan menyembunyikan diri dari pemangsa. Di dalam industri penternakan, anak kuda belang mungkin boleh dijinakkan tetapi apabila ia meningkat usia kepada lebih dewasa iaitu 2 tahun ke atas, kuda belang tidak lagi sesuai untuk ditunggang atas sebab emosinya yang lebih liar, cepat mengganas, suka menggigit dan menendang.

Bentuk badan dan nisbah tulang kuda belang juga dikatakan agak merbahaya untuk ditunggang. Badannya tidak serasi untuk dipasangkan pelana dan akan menyebabkan penunggang mudah jatuh. Punggung kuda belang juga dikatakan lemah, tidak mampu menampung berat badan manusia dalam jangka masa yang lama. Mereka akan merasa sangat tertekan apabila diberi bebanan yang kuat di atas belakangnya.

Selain itu, daya ingatan kuda belang juga lemah dan merupakan faktor utama ia amat susah untuk dilatih, tidak seperti seekor kuda. Ia tidak akan mengenal tuannya jika ditinggalkan dalam tempoh tertentu.

Tungganglah kuda, bukan kuda belang

Berbeza dengan kuda belang, sepupunya kuda, keldai dan baghal mempunyai kesemua ciri domestikasi. Jadi binatang ini boleh dilatih, dijinakkan, dan setia pada tuannya.

Kini anda faham kenapa kuda belang jarang kita lihat manusia tunggang? Jika ada info lebih menarik, sila tinggalkan komen ye, terima kasih.

Related Post :

5 thoughts on “Kenapa Kita Tidak Menunggang Kuda Belang?

Leave a Reply to Lan Cancel reply

%d bloggers like this: