Pipus : Makanan istimewa Daro

  • 2 min read
  • Mar 08, 2020

Bila merantau di tempat orang perkara yang paling utama kita perlu rasa ialah makanan. Jika diikutkan makanan Negeri Sarawak di daerah Dalat. Bahannya adalah hampir sama dengan semenanjung. Yang membezakan ialah citarasa orang sini. Kebanyakan makanan di sini rasanya lebih tawar atau secara mudahnya rasa asli tanpa banyak tambahan bahan perasa.

Bila berjalan-jalan di Sarawak, tidak sah kalau tidak sampai di Daro di mana Pipus boleh didapati. Satu kawasan yang jauh dari bandar. Ianya memerlukan akses feri untuk sampai di sini. Antara yang menarik perhatian saya semasa mengembara ke sini adalah Pipus. Sejenis makanan tradisional di Daro, Sarawak.

Bagaimana untuk pergi ke Daro?

Untuk pergi ke Daro, anda boleh melalui dua jalan. Pertama adalah melalui Mukah dan kedua adalah melalui Sibu. Jika anda menggunakan Jalan Sibu, anda perlu menaiki dua Feri untuk sampai ke sini. Manakalah jika melalui Mukah, hanya satu Feri sahaja anda perlu lalui.

Untuk menaiki feri, jika anda menggunakan kereta atau van. Anda perlu menunggu giliran. Kalau bernasib baik boleh naik terus. Namun kalau nasib tak baik, berejam menunggu giliran. Cara paling selamat adalah menggunakan motosikal kerana motosikal tak perlu beratur seperti kereta.

Kos naik feri adalah RM1 untuk satu kereta dan percuma bagi motosikal. Tempoh perjalanan feri boleh sampai 45 minit termasuk masa menunggu. Kadang-kdang lebih lagi. Ini adalah cabaran utama untuk ke Daro.

Di mana nak cari Pipus?

Setibanya di Daro, anda boleh cari di tepi-tepi jalan. Biasanya gerai Pipus dipenuhi asap kerana ianya menyalai Pipus di situ juga. Atau anda boleh bertanya dengan orang kampung. Peringatan, di sini talian selular terutama celcom dan digi amat terhad. Jadi untuk menggunakan internet adalah agak sukar. Jadi lebih senang bertanya orang di tepi jalan.

Antara Gerai Pipus di Daro
Antara Gerai Pipus di Daro

Apakah itu Pipus?

Pipus adalah makanan laut yang digaul rempah dan diisi dalam daun mengkuang, kemudian ianya disalai di atas para. Kalau di semenanjung, konsep yang sama adalah otak-otak. Ianya lebih kepada otak-otak Terengganu, bukan otak-otak Johor.

Pipus diisi dengan pelbagai jenis makanan laut, ada isi udang, ada isi sotong, ada isi ikan. Isi ikan pula pelbagai jenis isi ikan. Antaranya ikan parang “pirang”, ikan gonjeng, ikan sardin, dan lain-lain lagi. Bergantung kepada musim.

Pipus disalai di atas para
Pipus disalai di atas para
Pelbagai jenis Pipus
Pelbagai jenis Pipus, dari kiri Pipus Sardin, Pipus Gonjeng, Pipus Sotong dan Pipus Pirang.

Bagaimanakah rasa Pipus

Seperti yang dinyatakan di atas, Pipus mempunyai rasa yang tersendiri. Ianya adalah selera orang Sarawak, kurangnya rasa perasa tambahan atau rempah, ianya lebih kepada rasa asli ikan atau makanan laut lain. Kecuali Pipus Sotong rasanya lebih berempah.

Jauh beza dari otak-atak Terengganu atau otak-otak johor. Satu lagi, sukatan isi di dalam pipus adalah jauh lebih banyak dari otak-otak. Jadi elok anda pergi dan cuba sendiri. Mungkin ianya selera anda. Bagi saya sendiri rasanya okay.

Minum di Gerai Pipus
Minum sambil makan Pipus di gerai Cik Manis Daro

Nanti jika anda berjalan-jalan di Daro, jangan lupa beli dan rasa Pipus ini. Insyaallah sedap. Jumpa lagi dalam artikel akan datang

Related Post :

One thought on “Pipus : Makanan istimewa Daro

Leave a Reply to afifsukri Cancel reply

%d bloggers like this: